Akhirnya Parlimen telah dibubarkan pada 3 April 2013 untuk memberi
laluan kepada pilihan raya umum (PRU) ke-13, setelah lebih 5 tahun
berlalu dari pilihan raya umum sebelumnya. Hal ini mencatat sejarah
tersendiri di Malaysia kerana tidak pernah terjadi sebelum ini.
Bersamaan dengan pembubaran Parlimen ini, kebanyakan Dewan Undangan
Negeri juga telah turut dibubarkan bagi tujuan mengadakan pilihan raya
serentak di seluruh negara.
PRU kali ini disifatkan oleh banyak pihak, khususnya oleh parti-parti
yang bertanding sebagai PRU yang paling penting, paling getir dan paling
mendebarkan. Parti pemerintah terpaksa berhempas pulas demi
mempertahankan kekuasaan kerana sekiranya hilang kuasa, maka kemungkinan
segala skandal, rasuah, penyelewengan, salah-laku, salah-tadbir,
pembaziran dan segala macam keburukan akan lebih banyak terdedah dan
mungkin sahaja mereka yang terlibat akan diheret ke mahkamah.
Namun, apa yang lebih menakutkan bagi mereka
ialah,kalah pilihan raya bermakna hilangnya jawatan, pangkat, kekayaan
dan segala kuasa yang mereka miliki selama ini. Hilangnya kuasa bagi
mereka yang sangat gilakannya, seolah-olah hilanglah dunia ini, kerana
mereka hidup sememangnya untuk mencari dunia. Maka, tak hairanlah jika
parti pemerintah akan mempertahankan Putrajaya ‘hingga ke titisan darah
terakhir’.
Manakala bagi pembangkang pula, inilah saat yang paling dinanti-nanti
selama ini. Penantian selama lebih lima tahun merupakan satu penyeksaan
yang amat berat bagi mereka. Hasrat berkobar-kobar untuk ke Putrajaya
sudah tidak dapat dibendung. Dengan segala kepincangan yang dilakukan
oleh kerajaan sepanjang lima tahun lepas, pembangkang merasakan bahawa
mereka berada di puncak kekuatan dalam menghadapi PRU kali ini.
Apatah lagi dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat setiap kali
pembangkang mengadakan demonstrasi dan perhimpunan, maka tidak hairanlah
jika pembangkang merasakan perjalanan mereka ke Putrajaya kali ini
cukup selesa walaupun mencabar.Namun demikian, bagi umat Islam yang
mengambil berat urusan saudara-saudara mereka, kesedihan dan kepiluan
sekali lagi menusuk ke kalbu menyaksikan perbalahan dan ‘peperangan’
yang bakal tercetus dalam PRU kali ini, malah kali ini mungkin jauh
lebih hebat dari PRU-PRU sebelumnya, apatah lagi melihat kepada budaya
samseng yang semakin menular. Saat inilah api permusuhan, dendam,
fitnah, kebencian dan segala bentuk api kejahatan akan marak membakar,
khususnya di kalangan pihak-pihak yang bertanding dan
penyokong-penyokong mereka.
Kita tidak dapat nafikan hakikat bahawa tatkala pihak-pihak yang
bertanding dan para penyokong mereka sibuk berpesta demokrasi, syaitan
juga turut sibuk berpesta dan tidak putus-putus membisik dan
menyucuk-nyucuk ke dalam kalbu setiap orang agar memusuhi dan membenci
saudara seagamanya, agar menghentam satu sama lain, memfitnah,
memaki-hamun dan mungkin sampai ke tahap mencederakan satu sama lain.
Kesemuanya demi merebut kerusi untuk memastikan takhta pemerintahan
menjadi milik mereka. Inilah demokrasi.
Demokrasi vs Islam
Setelah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri terbubar, satu perkara yang
menjadi isu sebelum terbentuknya kerajaan yang akan datang (selepas PRU)
adalah,siapakah pemerintah dan apakah bidang kuasanya di sepanjang
“tempoh kekosongan” pemerintahan ini? Pelbagai hujah berlawanan yang
dikemukakan oleh kerajaan mahupun pembangkang dan juga pakar
undang-undang dalam hal ini. Ringkasnya, apa hujahnya sekalipun, amalan
yang dilaksanakan di Malaysia dan disepakati ramai adalah
wujudnya“caretaker government” (kerajaan sementara) yang mentadbir di
sepanjang tempoh pembubaran Parlimen ini sehinggalah kepada terbentuknya
kerajaan yang baru. Inilah yang diterima umum, baik oleh kerajaan,
pembangkang mahupun rakyat. Siapakah caretaker government ini? Ia adalah
kerajaan (badan Eksekutif – Perdana Menteri dan menteri-menteri
kabinet) yang sedia ada termasuk kakitangan awam di bawah mereka. Apakah
bidang kuasa mereka? Mereka mempunyai bidang kuasa untuk mentadbir
urusan seharian negara tetapi tidak lagi mempunyai bidang kuasa
Legislatif.
Banyak lagi perbincangan tentang caretakergovernment dan bidang
kuasanya, yang tidak perlu dijelaskan di sini kerana apa yang ingin
ditekankan ialah keanehan sikap sebahagian besar umat Islam, termasuklah
parti Islam yang bertanding dalam pilihan raya demokrasi di Malaysia
ini yang tidak mempedulikan dari manakah asalnya caretaker government
ini dan apakah ia sah menurut pandangan syarak? Umum mengetahui bahawa
sebagai anak didik penjajah, kerajaan Malaysia mewarisi dan mengikuti
sistem pemerintahan dari United Kingdom (UK) dan dari segi demokrasi
berparlimen, sistem Westminster UK menjadi tiruan dan amalan di
Malaysia. Begitulah juga dengan amalan caretaker government yang turut
diambil dari negara kafir penjajah itu. Di Britain, kali pertama
caretaker governmentini berlaku adalah pada tahun 1945 tatkala kerajaan
campuran konservatif-buruh pimpinan Sir Winston Churchill terpecah
ketika parti buruh menarik diri. Akibatnya Churchill telah meletak
jawatan. Sebuah kerajaan sementara (caretaker government) telah
ditubuhkan oleh Raja Britain ketika Britain menjalankan proses
pilihanraya. Parti buruh yang diketuai oleh Clement Atlee telah
kemudiannya memenangi pilihanraya tersebut dan membentuk kerajaan.
Demokrasi sebagai sebuah sistem yang
datangnya dari kafir Barat, ternyata berbeza dan bertentangan dengan
Islam dari segenap aspek. Apabila berbicara tentang sistem Parlimen,
umat Islam hendaklah memahami dari asasnya bahawa tidak ada Parlimen dan
tidak ada konsep pembubaran Parlimen dalam Islam!Memang benar adanya
Majlis Umat (Majlis Syura) dalam Islam, tetapi fungsinya bukan
sebagaimana fungsi Parlimen dalam sistem demokrasi. Pemerintah dalam
Islam ialah Khalifah dan Khalifah boleh memerintah selama mana tidak
tercabut darinya sebab-sebab yang syari’e yang menyebabkan jawatannya
gugur. Di dalam Islam juga, tidak ada konsep Khilafah terbubar dengan
sendiri setelah cukup/tamat tempoh pemerintahannya.
Tidak ada tempoh tertentu bagi jawatan Khalifah. Kekosongan pemerintahan
(keKhilafahan) hanya boleh terjadi apabila Khalifah meninggal, meletak
jawatan, murtad, menjadi fasik, menukar jantina, menjadi tawanan musuh
sehingga tidak ada jalan melepaskan diri atau hilang kemampuan atas
sebab-sebab tertentu. Selama mana Khalifah masih memenuhi tujuh syarat
keKhalifahan dan selama mana dia memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah
RasulNya, maka selama itulah dia kekal memerintah dan umat wajib
mentaatinya serta umat tidak berhak untuk mencabut pemerintahannya. Umat
hanya memiliki hak untuk melantik dan membai’at Khalifah tetapi tidak
mempunyai hak secara syari’e untuk memecat Khalifah.
Sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan Khalifah oleh sebab-sebab di
atas, Islam telah menetapkan cara untuk menangani perkara ini yang
diistidlal (berdasarkan dalil-dalil) dari Ijmak Sahabat. Dari segi
tempoh waktu, sahabat telah berijmak (bersepakat) bahawa tidak boleh ada
kekosongan jawatan Khalifah lebih dari 3 hari dan sekiranya ini
berlaku, maka keseluruhan umat Islam berdosa kecuali mereka yang sibuk
dalam usaha untuk melantik Khalifah. Manakala dalam sistem demokrasi di
Malaysia, tempoh waktu kosong dari adanya seorang ketua negara
dibenarkan sehingga 60 hari. Hal ini amat nyata bertentangan dengan
Islam. Manakala apabila berlaku kekosongan pemerintahan dalam Islam,
maka wajib dilantik al-amir al-muaqqat (amir sementara) untuk mengurusi
urusan kaum Muslimin sehinggalah dibai’ahnya seorang Khalifah yang baru
dalam masa yang tidak boleh melebihi 3 hari. Islam tidak mengenal
istilah caretaker government dan konsep ini tidak boleh diamalkan oleh
umat Islam kerana bertentangan dengan nas.
Dalil Pengangkatan Amir Sementara
Dalil berhubung pelantikan atau pengangkatan al-amir al-muaqqat (amir
sementara) ini adalah didasarkan pada tindakan Khalifah Umar al-Khattab
ra yang melantik Suhaib untukmengurusi proses pengangkatan Khalifah yang
baru di saat Umar sakit tenatakibat ditikam. Tindakan Umar ra ini
disaksikan oleh para sahabat - semoga Allah meredhai mereka semua - dan
tidak seorang pun dari mereka yang mengingkarinya. Dengan demikian,
mereka telah berijmak (bersepakat) atas hal ini atau dengan kata lain,
hal ini telah menjadi Ijmak Sahabat. Umar ra berkata kepada keenam-enam
calon yang dilantiknya untuk menjadi Khalifah, “Apabila aku meninggal,
bermesyuaratlah kalian selama tiga hari. Hendaknya Suhaib yang mengimami
solat orang ramai sehingga tidaklah masuk hari keempat, kecuali kalian
wajib sudah memiliki seorang amir (Khalifah)”. Kemudian Umar ra berkata
kepada Suhaib ra, “Pimpinlah solat orang ramai selama tiga hari…jika
lima orang telah bersepakat dan meredhai seorang (untuk menjadi
Khalifah), lalu ada seorang yang menolak, maka penggallahleher orang
yang menolak itu dengan pedang” [Ath-Thabari, Tarikh al-Umam wa
al-Muluk, II/581].
Begitulah tegasnya kewajipan melantik seorang Khalifah dalam masa yang
tidak boleh melebihi 3 hari sehingga Umar memerintahkan agar dibunuh
sahabat yang tidak bersetuju selepas berlalunya 3 hari. Umar telah
melantik Suhaibsebagai amir bagi mereka bahkan Suhaibtelah dilantik
sebagai pemimpin solat. Kepemimpinan solat itu maksudnya adalah
kepemimpinan ke atas masyarakat. Pelantikan Suhaib sebagai amir
sementara amat jelas dari solahiyyah (bidang kuasa)yang diberikan oleh
Umar kepada beliau untuk menjalankan uqubat (hukuman) iaitu “penggallah
leher orang yang menolak” sementara tidak ada yang boleh melaksanakan
hukuman bunuh itu kecuali seorang amir.
Apa yang dilakukan oleh Umar ra ini benar-benar terjadi dan disaksikan
oleh para sahabat tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya. Dengan
demikian, mereka telah berijmakbahawa Khalifah memiliki hak untuk
melantik amir sementara yang akan mengurusi proses pengangkatan Khalifah
yang baru. Atas dasar itu juga, Khalifah, semasa hidupnya memiliki hak
untuk mentabanni(menetapkan) fasal yang menetapkan bahawa jika Khalifah
meninggal dan belum melantik amir sementara untuk mengurus proses
pengangkatan Khalifah yang baru, maka hendaklah ada salah seorang yang
menjadi amir sementara (Muqaddimah ad-Dustur, HizbutTahrir, hlm.
136-137; AjhizahDaulah al-Khilafah, HizbutTahrir, hlm. 29-31).
Amir sementara berbeza dengan orang yang dilantik oleh Khalifah untuk
mewakili Khalifah ketika beliau keluar untuk melakukan jihad atau keluar
melakukan safar (perjalanan). Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW setiap kali baginda keluar untuk berjihad atau seperti
ketika baginda melaksanakan Haji Wada’ atau seumpamanya. Orang yang
diangkat dalam keadaan ini, bidang kuasanya bukan untuk mengurus
pelantikan Khalifah lain tetapi hanya terbatas setakat apa yang
ditentukan oleh Khalifah yang melantiknya, dalam menjalankan
ri’ayahasy-syu’un (pengaturan pelbagai urusan) [Muqaddimah ad-Dustur,
hlm. 136-137; AjhizahDaulah al-Khilafah, hlm. 29-31]. Jawatan amir
sementara berakhir apabila sempurnanya pengangkatan Khalifah yang baru.
Ini kerana tugasnya memang hanya untuk sementara waktu yakni sementara
sempurnanya perjalanan proses pengangkatan Khalifah yang baru tersebut.
Tatacara Pelantikan Dan Bidang Kuasa Amir Sementara
Berdasarkan penjelasan di atas, orang yang menjadi amir sementara adalah
orang yang dilantik oleh Khalifah ketika Khalifah merasa bahawa
hidupnya sudah tidak lama lagi, seperti yang dilakukan oleh Umar
al-Khattabra.HizbutTahrir telah menjelaskan perkara ini secara
terperinci di dalam kitabMuqaddimah Dustur Au Asbab al-Mujibah Lahu,
Fasal 33 tentang penetapan amir sementara dan bidang kuasanya, seperti
berikut:-
Amir sementara (al-amir al-muaqqat) dilantik untuk menangani urusan kaum
Muslimin dan melaksanakan proses pengangkatan Khalifah yang baru
setelah kosongnya jawatan Khalifah melalui cara-cara berikut:-
(a) Khalifah sebelumnya, ketika merasa ajalnya sudah dekat atau bertekad
untuk mengundurkan diri (meletak jawatan), dia memiliki hak untuk
menunjukkan atau melantik amir sementara;
(b) Jika Khalifah meninggal dunia atau diberhentikan sebelum
terlantiknya amir sementara, atau jika kosongnya jawatan Khalifah bukan
kerana meninggal atau diberhentikan, maka Mu’awin at-Tafwidh(pembantu
Khalifah dalam bidang pemerintahan) yang paling tua usianya, menjadi
amir sementara, kecuali jika dia ingin mencalonkan dirinya untuk jawatan
Khalifah, maka yang menjawat amir sementara adalah Mu’awin at-Tafwidh
yang lebih muda dan begitulah seterusnya;
(c) Jika semua Mu’awin at-Tafwidh ingin mencalonkan diri masing-masing,
maka Mu’awin at-Tanfidz (pembantu Khalifah dalam bidang pentadbiran)
yang paling tua usianya menjadi amir sementara. Sekiranya dia ingin
mencalonkan diri, maka yang lebih muda berikutnya menjadi amir sementara
dan demikianlah seterusnya;
(d) Jika semua Mu’awin at-Tanfidz ingin mencalonkan diri untuk jawatan
Khalifah, maka amir sementara dibatasi pada Mu’awin at-Tanfidz yang
paling muda usianya;
(e) Amir sementara tidak memiliki bidang kuasa untuk mentabanni (menetapkan) hukum; dan
(f) Amir sementara menggunakan seluruh keupayaan yang dimilikinya untuk
melaksanakan secara penuh proses pengangkatan Khalifah yang baru dalam
tempoh tiga hari. Tidak boleh diperpanjang waktunya kecuali kerana sebab
yang memaksa dan itu pun dilakukan atas persetujuan Mahkamah Mazhalim.
Sebagaimana yang telah disebutkan dalam Fasal 33 (f) di atas, bidang
kuasa amir sementara itu amat jelas, iaitu menjaga urusan kaum Muslimin
khususnya di sepanjang proses pengangkatan Khalifah yang baru, agar
proses itu berjalan dengan sempurna dan menepati tempoh yang ditetapkan
iaitu selama 3 hari dan tidak boleh melebihi 3 malamnya. Oleh yang
demikian, terkait dengan persoalan ini, amir sementara tidak boleh
mentabanni(mengadopsi) suatu hukum, sebab pentabannian hukum itu adalah
sebahagian dari bidang kuasa Khalifah yang dibai’at oleh umat. Selain
itu, alasan ketidakbolehan amir sementara mentabanni suatu hukum adalah
kerana sifat bidang kuasanya yang sementara dan dibatasi oleh waktu.
Dalam pada itu, amir sementara juga tidak boleh mencalonkan diri untuk
jawatan Khalifah atau mendukung salah seorang calon yang ada. Ini adalah
kerana, Umar al-Khattab ra telah menunjukkan amir sementara itu dari
selain orang yang dicalonkan untuk menduduki jawatan Khalifah
[Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 136; AjhizahDaulah al-Khilafah, hlm. 30].
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Fikirkanlah dengan hati yang penuh keimanan dan
ketakwaan yang ingin melihat agama Allah diamalkan oleh setiap Muslim
yang merupakan saudaranya, sudah berapa jauh sistem dan undang-undang
negara ini dari Islam. Berapa lama lagikah kalian ingin bergelumang
dalam sistem demokrasi yang bertentangan dengan Islam ini?
Kita sememangnya inginkan perubahan dan ingin keluar dari segala
kejahatan sistem dan pemerintah yang ada, namun persoalannya, apakah
jalan perubahan yang kita ambil sekarang ini bertepatan dengan jalan
perubahan yang ditunjukkan oleh Rasulullah melalui Sunnahnya atau
bertepatan dengan jalan perubahan yang ditunjukkan oleh Lord Reid
melalui ‘kitab’nya yang menjadi pegangan teguh di Malaysia?
Allah SWT bertanya,
“Apakah
hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih
baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”[TMQ al-Mai'dah
(5):50].