Fahaman sekular adalah merujuk kepada perkataan Latin iaitu saeculum
yang bererti generasi atau zaman. Dalam agama Kristian sekular bermaksud
agama itu bertentangan dengan gereja. Untuk pengertian yang lebih jauh
sekular merujuk kepada sesuatu yang dimiliki atau yang bersangkutan
dengan dunia lahir sahaja dan tidak ada kena mengena dengan keabadian.
Dalam perbincangan ini sekular bermakna kehidupan yang tidak ada kaitan
dengan perkara ghaib, atau perkara agama.
Dengan begitu sekularisme adalah bermakna satu fahaman yang memisahkan
agama dari kehidupan ini, khususnya kehidupan bernegara. Ugama adalah
masalah peribadi yang tidak mempunyai kaitan dengan negara. Manusia
adalah bebas dari asuhan agama dan ketetapan dari Yang Maha Kuasa.
Sekularisme menentang sebarang pengaruh agama dan manusia bebas
menentukan kepercayaan dan arah haluan hidupnya sendiri.
Teras kepada sekularisme ialah politik yang berasaskan kepada perkauman
atau pun kebangsaan, atau apa yang kita panggil nasionalisma. Manakala
ekonominya pula berasaskan laissez faire dan falsafah individualisma.Ia
kemudiannya merebak ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya
hidup mereka yang merupakan pemujaan kepada modenisma, materialisma dan
pemujaan hawa nafsu.
Menelusuri sekularime di Malaysia, ia sebenarnya datang bersama-sama
penjajah Inggeris yang menakluk negara ini dari tangan Belanda. Dalam
Perjanjian Pangkor pada 1874 antara Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan
Sir Andrew Clarke, syarat penting dalam perjanjian itu ialah residen
Inggeris akan menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri
kecuali mengenai agama Islam dan adat Istiadat Melayu. Dengan semikian
segala urusan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang negeri terserah
kepada Inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka yang
tidak pernah memikirkan soal agama dan sebagainya. Di sini para Sultan
sudah kehilangan hak politik dan pemerintahan dan tidak lagi berkuasa
untuk mencegah usaha-usaha menanamkan fahaman sekular yang dibawa oleh
Inggeris. Dan akhirnya berlakulah apa yang dinamakan pemisahan politik
dari agama, atau agama dari negara.
Bila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos, 1957 dasar pemisahan di antara
agama dan negara itu diteruskan dan dikekalkan dalam bentuk konstitusi
iaitu dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam Bahagian 1, ceraian 1,2,3
dan 4, soal agama diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam
tiap-tiap negeri manakala soal pemerintahan diserahkan kepada wakil
rakyat tidak kira samada Islam dan bukan Islam. Akhirya terpisahlah
Islam dari pemerintahan kerajaan Tanah Melayu itu.
Sebagai langkah untuk menguatkan lagi sekularisme, penjajah Inggeris
merancang dan telah pun berjaya melahirkan segolongan pemimpin di
kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan sistem
pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara
dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu
sendiri.
Golongan ini kemudian berjaya memesongkan akidah dan perjuangan
masyarakat Islam di Tanah Melayu, dan mereka seterusnya berjaya
menanamkan fahaman sekular itu ke dalam tubuh masyarakat Melayu sehingga
orang-orang Melayu yang beragama Islam itu turut memuja fahaman
kebendaan dan sesuatu yang berlandaskan hawa nafsu.
Bidang yang paling teruk menerima kesan sekularisasi adalah bidang
pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah merupakan saluran dan alat
terpenting untuk mencorakkan haluan hidup manusia itu sendiri. Stamford
Raffles adalah seorang pegawai Inggeris yang bertanggung jawab
mengemukakan rancangan halus untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui
pendidikan beliau merencanakan Singapura sebagai pusat bagi kebangkitan
semula peradaban asli kuno dan menyegarkan menerusi penyebaran perluasan
pengaruh Inggeris dan faedah-faedah pendidikan dalam kemajuan ekonomi
Barat. Beliau telah mengemukakan gagasan pusat Pengajian Asia Tenggara
bagi mencapai matlamat ini. Beliau berhasrat untuk melahirkan
bangsa-bangsa yang bijaksana dan terpelajar selaku orang suruhan yang
jujur kepada sistem pentadbiran penjajah. Ia juga menyarankan supaya
pendidikan untuk anak-anak Melayu mestilah menerusi tulisan rumi dalam
usaha mengurangkan pengaruh Islam di kalangan orang-orang Melayu.
Selanjutnya perkara yang menjadi perhatian Inggeris ialah bidang
ekonomi. Mereka memperkenalkan sistem kapitalis yang mengagungkan riba,
jika tidak berasaskan riba sesuatu sistem itu tidak akan dapat
dijalankan. Sistem ini berasaskan dasar laissez-faire yang berteraskan
kebebasan individu yang hanya mementingkan keuntungan peribadi. Manusia
diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan kekayaan di mana
akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlansung dan menjadi
amalan masyarakat. Akhirnya manusia menjadi haiwan ekonomi, dan mereka
pun memilih cabang-cabang Islam yang hanya sesuai dengan jiwa mereka,
dan tidak lagi berfikir untuk menegakkan Islam dan melaksanakan jihad
seperti yang dikehendakki Islam.
Demikianlah masyarakat Melayu mula membenci orang-orang yang hidup
sederhana, yang tidak menyintai dunia, dan yang mengamalkan sikap zuhud.
Segala-galanya dinilai dengan wang ringgit. Masalah negara dilihat
penyelesaiannya dari sudut ekonomi, dan bukannya dengan cara yang
dikehendakki oleh Islam. Kemudian pada dekad-dekad terakhir lapan
puluhan lahirlah Dasar Ekonomi Baru, Amanah Saham Nasional, 30 peratus
penyertaan bumiputra dalam sektor perusahaan, Loteri Kebajikan
Masyarakat, dan berbagai lagi perkara yang menjurus kepada soal
kebendaan semata yang kesemuanya bertentangan dengan prinsip Islam.
Aspek politik adalah yang paling utama menerima kesan dari sekularisme.
Perlembagaan Malaysia adalah bukti yang paling jelas dalam hal ini. Ia
menafikan kekuasaan Allah, Rasulnya dan AlQuran. Politik dan agama
menjadi terpisah.Sedangkan sepertimana yang kita tahu dalam Islam agama
dan politik adalah satu.Tidak bercerai berai. Hijrahnya Rasul saw adalah
untuk mendirikan negara Islam di Madinah. Ini bermakna Islam dan
politik tidak dapat dipisahkan, di mana ia bertentangan sama sekali
dengan hakikat perjalanan politik di Malaysia. Politik kita sekarang
adalah acuan dari Barat, politik yang mengutamakan nafsu dan kebendaan.
Apabila benda-benda menguasai manusai, maka mereka pun tenggelam dalam
suasana hidup yang tidak ada berpedoman, semuanya bertuhankan nafsu.
Sebab itulah hidup masyarakat kita hari ini sedang menuju ke arah
kehancuran, akibat merebaknya pengaruh sekularisme itu, bahkan ianya
dibelai pula oleh pemerintah kita, oleh kerajaan BN, menjadikan orang
Islam di Malaysia terlalu individualistik, hidup mementingkan diri,
mengejar kemewahan dan sebagainya. Projek-projek membazir sudah menjadi
semacam satu pemujaan, semuanya adalah kerana faham kebendaan telah
berakar umbi ke dalam jiwa Melayu yang mengaku beragama Islam. Mampukan
orang-orang Melayu sorot balik ke belakang? Soalnya terletak kepada
orang Melayu sendiri. Namun pengaruh sekularisme bukanlah semudah itu
untuk dibuang, apalagi ia telah tertanam ke dalam jiwa dan dijunjung
pula oleh kaum pemerintah. Inilah halangan-halangan utama untuk
menyebarkan akidah Islam, apalagi untuk memberikan kefahaman tentang
negara Islam kerana fahaman itu amat bertentangan dengan jiwa Islam yang
murni itu
Dan jika sekiranya kita berminat untuk menegakkan Islam, kita haruslah
memerangi fahaman ini yang menjadi halangan utama ke arah merealisasikan
cita-cita Islam itu. Bersediakah kita?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan